Dr Amalina bergelar isteri

KUALA LUMPUR: Pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri sah bergelar isteri kepada jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London pada Rabu lalu.

Pengumuman itu dikongsi oleh Dr Amalina, 34, menerusi laman Instagram, beberapa jam lalu.

Menerusi entri dimuat naik, wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu meluahkan rasa syukur majlis pernikahan dengan suami akhirnya dapat dilaksanakan selepas tiga kali tertangguh berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di United Kingdom.

Dr Amalina Che Bakri sah menjadi isteri pengarah syarikat perisian, Alexander Charles di Masjid Central London pada Rabu lalu. - Foto Ihsan Zahrah Othman
Dr Amalina Che Bakri sah menjadi isteri pengarah syarikat perisian, Alexander Charles di Masjid Central London pada Rabu lalu. – Foto Ihsan Zahrah Othman

 

“Alhamdulillah, majlis pernikahan kami selesai diadakan di Masjid Central London pada 31 Mac lalu. Meskipun tiga kali tertangguh berikutan perintah kawalan pergerakan, kami lega apabila berjaya mengadakan majlis ringkas dengan dihadiri teman rapat dan anggota keluarga. Hanya enam tetamu dibenarkan mengikut peraturan ditetapkan.

“Mengikut perancangan asal, kami ingin mengadakan majlis di Malaysia pada Mac lalu, manakala resepsi di London pula pada Jun depan. Namun, kami terpaksa menunda majlis resepsi ke satu tarikh lain bagi memastikan ramai tetamu dapat hadir.

“Kami tidak sabar meraikan hari yang cukup istimewa bersama keluarga tersayang dan rakan-rakan,” tulisnya.

Dr Amalina memuat naik sekeping fotonya bersama suami di sebuah taman. Dr Amalina menggayakan kurung moden rona putih rekaan Cosry, manakala Charles yang juga seorang pengarah di sebuah syarikat perisian mengenakan sut lengkap berwarna hitam serta putih.

 

Dr Amalina Che Bakri dan suami, Alexander Charles merancang mengadakan majlis resepsi di Malaysia apabila sudah boleh merentas negara. - Foto IG Dr Amalina
Dr Amalina Che Bakri dan suami, Alexander Charles merancang mengadakan majlis resepsi di Malaysia apabila sudah boleh merentas negara. – Foto IG Dr Amalina

 

Sementara itu, memetik laporan New Straits Times, Dr Amalina meluahkan perasan sedih apabila ibunya, Sabariah Hassan tidak dapat hadir menyaksikan hari bahagianya kerana syarat ketat untuk ke luar negara.

Bagaimanapun, Dr Amalina berkata, dia mengambil inisiatif untuk mengabadikan kenangan indah bersama ibunya menerusi aplikasi FaceTime.

“Saya gembira upacara akad nikah dapat disaksikan ibu menerusi FaceTime. Saya dan suami berharap dapat mengadakan majlis resepsi apabila berpeluang pulang ke Malaysia,” katanya.

Dr Amalina dan suami berkenalan dalam satu majlis, tiga tahun lalu. Pasangan itu memutuskan mengikat tali pertunangan pada Ogos, tahun lalu.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber:https://www.bharian.com.my/

Leave a Reply

Your email address will not be published.