“Cantik Dan Lembutnya Suara Dia” – Senyuman Manis Dan Personaliti Farah Ann Jadi Perhatian

Kelembutan tutur kata dan senyuman manis ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi mencuri tumpuan warga maya sewaktu beraksi pada pusingan awal temasya Olimpik Tokyo 2020 semalam.

Malah sepanjang melakukan aksi yang sukar juga Farah tidak lekang dengan senyuman membuatkan penonton jatuh hati dengan atlet cantik itu.

Setiap gerak tari Farah di gelanggang gimnastik bukan hanya memukau bahkan auranya juga mampu membuatkan penonton seolah-olah merasai sendiri debaran Olimpik biarpun hanya ditonton menerusi kaca televisyen.

Namun nasib tidak menyebelahinya apabila Farah terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pusingan akhir acara individu All Around apabila meraih kedudukan ke-53 secara keseluruhan.

Namun apa yang paling manis adalah apabila netizen cuba memujuk Farah untuk tidak bersedih dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana berjaya membawa nama Malaysia ke Olimpik.

Farah menerusi temu bual bersama Astro Arena sebentar tadi menyatakan rasa terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

“Pertama sekali saya nak berterima kasih kepada semua yang sokong saya dan berikan semangat.

“Teruskan menyokong semua atlet yang bertanding di Tokyo. Kami semua datang ke sini untuk buat yang terbaik dan telah berkorban banyak untuk berada di sini.

“Kita juga akan teruskan berjuang hingga saat akhir dan teruskan memberi sokongan. Terima kasih untuk jurulatih saya, keluarga, rakan-rakan team saya dan juga semua yang menyokong saya.

“Saya sangat bertuah mempunyai anda semua di belakang saya, terima kasih Malaysia,” ujarnya.

Untuk info, Farah memulakan aksi dengan disiplin palang tidak sejajar mengutip 11.600 mata sebelum meraih 11.566 untuk batang titian.

Dalam senaman lantai pula, atlet berumur 27 tahun itu mengutip 12.333 sebelum meraih mata tertinggi dalam melombol yang merupakan aparatus terakhirnya dengan catatan 13.166 mata.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber:Gempak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *